[VIDEO] Presiden KDM saman aktivis politik RM100 juta

PENAMPANG - Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony mengambil tindakan saman RM100 juta terhadap seorang aktivis politik di negeri ini susulan kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Peter berkata, surat saman fitnah itu telah dihantar oleh peguamnya kepada Datuk Zulkarnain Mahdar yang juga Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), pada Isnin lalu.

**media[2839955]**

"Saman sebanyak RM100 juta iaitu saman fitnah kepada beliau telah kita hantar dan kita telah failkan. Ia susulan satu paparan daripada laman TikTok yang telah memfitnah kedudukan dan memburukkan reputasi saya.

"Pertama selaku Presiden KDM, kedua selaku Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM), ketiga selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan keempat, selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah Tenom," katanya dalam sidang akhbar di pejabat KDM di sini pada Rabu.

Katanya lagi, menerusi klip video yang disiarkan dalam aplikasi tersebut, Zulkarnain telah memfitnah kedudukannya seperti beliau tidak layak duduk di kementerian kerana seorang kontraktor pemegang kelas A dan terpalit dengan isu rasuah.

**media[2839954]**

"Jadi semua maklum bahawa selaku wakil rakyat yang ingin bertanding, kita terlebih dahulu perlu meletak jawatan di semua pemegang taruh ataupun mana-mana yang berkepentingan melibatkan agensi dan kerajaan.

"Jadi saya telah meletakkan semua jawatan saya selaku ahli perniagaan sejak 2017 dan ini boleh kita lihat melalui rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di dalam Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) ataupun SSM yang jelas menyatakan bahawa perkara tersebut tidak berlaku," katanya.

Beliau menegaskan bahawa kenyataan itu menggambarkannya sebagai seorang yang tidak jujur dan tidak ikhlas selain mengamalkan sesuatu yang tidak baik.